21 December 2014

Jom Kenali 2 Jenis Demam Denggi

Penyakit demam denggi adalah sangat popular di malaysia. Kita dinasihatkan untuk sentiasa memastikan kawasan tempat tinggal kita tidak mengalami masalah demam denggi. 
Apakah penyakit denggi itu?? 
Penyakit denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang merbahaya yang boleh membawa maut kerana sehingga kini belum ada ubat untuk mengubati penyakit ini. Denggi biasa terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat dari gigitan nyamuk Aedes. Penyakit ini biasanya berlangsung selama 10 hari dan kadang-kadang memerlukan masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya. Penyakit denggi kerap berlaku di kawasan bandar jika dibandingkan dengan luar bandar.

JENIS-JENIS PENYAKIT DENGGI     
Terdapat 2 jenis penyakit denggi iaitu:
  1. Demam denggi klasikal - Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau 'breakbone fever'.
  2. Demam denggi berdarah - Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil sebagai 'demam berdarah Filipina'.

AGEN PENYEBAB PENYAKIT DENGGI    
Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga Togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis 'serotype' virus yang telah dikenalpasti iaitu Den 1, Den 2, Den 3 dan den 4. Semua jenis serotype ini boleh meransang pembentukan antibodi yang berbeza-beza. Namun begitu kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja.

Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk Aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu 4-5 hari pada tahap awal penyakit.

CARA JANGKITAN
Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk. Ia memerlukan masa pengeraman selama 8-10 hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air liur nyamuk. Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya. Apabila nyamuk Aedes betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada di dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia. Apabila nyamuk Aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.

Penularan virus denggi boleh juga terjadi apabila nyamuk aedes betina sedang menghisap darah orang yang dijangkiti virus denggi diganggu dan nyamuk itu dengan segera menggigit orang lain pula. Ini akan menyebabkan virus yang terdapat dalam belalai nyamuk tersdebut akan masuk ke dalam peredaran darah orang kedua tanpa memerlukan masa pengeraman. Cara ini dipanggil 'Penularan Mekanikal'.

Selain dari cara-cara di atas jangkitan virus denggi boleh juga berlaku melalui penularan transovari dimana ia merupakan suatu proses penularan agen penyakit daripada serangga betina melalui telur, jentik-jentik hingga kepada serangga dewasa generasi berikutnya.

Penularan transovari sangat penting bagi virus denggi kerana proses ini membolehkan virus tersebut berkekalan di persekitaran. Melalui proses penularan ini nyamuk bukan sahaja berperanan sebagai agen pembawa tetapi juga sebagai perumah kepada agen penyakit.


 TANDA-TANDA ATAU GEJALA

1. Demam Denggi Klasikal
Tanda-tanda demam denggi ini bergantung kepada usia pengidap tersebut. Pada bayi atau kanak-kanak ciri utama ialah ruam yang disertai oleh demam panas. bagi orang dewasa dan remaja pula demam kuat yang muncul dengan tiba-tiba yang berlangsung selama 2-7 hari, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi yang diikuti oleh ruam yang timbul pada hari ke3-4. Bintik-bintik merah di bawah kulit juga boleh didapati.

2. Demam Denggi Berdarah
Demam denggi berdarah mempunyai 4 ciri klinikal yang utama seperti demam yang sangat panas, perdarahan, pembesaran hati dan kegagalan sistem peredaran darah.

Perdarahan yang berlaku adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, perdarahan hidung, gusi, darah dalam najis(najis berwarna hitam), kencing berdarah dan kadang kala mendapat haid yang berlebihan.

Pembesaran hati terjadi pada peringkat awal penyakit. Pembesaran hati ini boleh mencapai 2-4cm di bawah tulang rusuk kanan.

Kegagalan atau gangguan peredaran ditunjukkan melalui tanda-tanda seperti kesejukan dan kongesti kulit, kebiruan dan peningkatan kadar nadi. Mereka juga kelihatan resah dan lemah dan kemudian dengan cepat mengalami renjatan atau sawan. Keadaan ini juga dipanggil sebagai 'Dengue Shock Syndrome'(DSS).

RAWATAN
Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi.
 
1. Rawatan Demam Denggi Klasikal
Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu:
  • Mengurangkan demam(suhu badan)
  • Mengelakkan dari perdarahan berlaku
2. Rawatan Demam Denggi Berdarah
  • Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak.
  • Demam yang sangat panas meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik.
  • Pesakit juga diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Masa yang paling genting ialah pada hari ke 3 hingga hari ke 7.
  • Pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ia menggambarkan darjah kehilangan plasma.
Jom pastikan kita dan keluarga terhindar dari demam denggi.

Post a Comment

 

THE FIRST WEALTH IS HEALTH by JIAKREATIFΞLT™