Tahniah, Anda Hamil! Apa Yang Perlu Anda Tahu Seterusnya?
 
 Anda mesti mempunyai banyak soalan. Tidak kira jika ini adalah 
kehamilan anda yang pertama atau anda ingin menambah ahli keluarga anda.
 Salah satu daripadanya ialah tentang penjagaan kesihatan. Sepanjang 40 
minggu hamil, pelbagai perubahan fizikal dan mental yang anda dihadapi. 
Oleh yang demikian, siapkan diri dengan segala info agar anda seronok 
sepanjang kehamilan.
 
 8 Perkara Perlu Anda Tahu Untuk Kehamilan Sihat :
 
 1. Pemeriksaan Antenatal
 
 Penjagaan antenatal sangat penting untuk memastikan anda dan bayi sihat
 sepanjang kehamilan. Berjumpa doktor O&G sejak awal kehamilan 
membolehkan mereka memantau kesihatan dan perkembangan bayi dan anda 
dari semasa ke semasa.
 
 2. Jaga Pemakanan
  Sebenarnya, 
dalam kehamilan tiada istilah makan untuk dua orang. Ketahuilah bahawa 
keperluan tenaga ibu hamil tidak berubah sepanjang enam bulan pertama 
kehamilan mereka. Keperluan ini mula meningkat sedikit ketika tiga bulan
 terakhir kehamilan iaitu penambahan lebih kurang 200 kalori sehari. 
Yang penting, ibu hamil perlu mengambil makanan yang berkhasiat dan 
seimbang. Pada masa yang sama, pastikan makanan yang diambil bersih bagi
 mengelakkan sebarang jangkitan penyakit.
 
 Sekiranya berpuasa, 
pastikan anda bersahur dan berbuka dengan makanan yang berkhasiat. 
Hidangan anda mestilah mengandungi protein, lemak, karbohidrat, vitamin 
dan mineral. Cegah dehidrasi tubuh dengan perbanyakan minum air kosong 
pada waktu malam.
 
 3. Pengambilan Asid Folik
  Asid folik
 penting bagi ibu hamil kerana boleh membantu mencegah masalah spina 
bifida dan masalah kecacatan tiub neural. Semua wanita yang merancang 
untuk hamil dinasihatkan supaya mengambil tambahan harian asid folik 
sebanyak 400mcg bermula semasa pembenihan dan sepanjang tiga bulan 
pertama kehamilan.
 
 4. Bersenam
  Senaman boleh memberi 
kekuatan dan ketahanan pada ibu hamil. Senaman juga akan memudahkan ibu 
hamil kembali ke bentuk tubuh asal selepas bayi anda dilahirkan. Semasa 
hamil, wanita digalakkan melakukan senaman lantai pelvik bagi menguatkan
 otot sekitar pelvik yang membantu mengelakkan daripada berlakunya 
inkontinens, yang selalu dialami oleh wanita hamil. Tekanan inkontinens 
adalah terkencing akibat aktiviti tertentu seperti bersin, ketawa atau 
bersenam.
 
 5. Pakaian Dan Kasut Ketika Hamil
  Sepanjang 
kehamilan, ibu-ibu disarankan agar memakai pakaian yang longgar dan 
tidak mencengkam terutamanya pada bahagian pinggang. Pastikan juga 
pakaian tersebut menggunakan fabrik yang mudah serap peluh seperti kain 
kapas. Pada masa yang sama, pakaian dalam juga perlu yang sesuai iaitu 
khas untuk wanita hamil. Untuk kaki, pilihlah kasut bertumit rendah dan 
diperbuat daripada kanvas atau kulit yang membantu memberi sokongan 
kepada tapak kaki anda.
 
 6. Hadkan Pengambilan Kafein
  
Sesetengah penyelidik berpendapat bahawa pengambilan terlalu banyak 
kafein boleh menyumbang kepada risiko keguguran dan melahirkan bayi yang
 tidak cukup berat. Pakar memberitahu bahawa jumlah pengambilan kafein 
yang tidak memudaratkan ialah sekitar 150mg hingga 300mg, dalam 3 cawan.
 Walau bagaimanapun, pengambilan kafein yang kurang daripada kadar 
tersebut adalah lebih baik.
 
 7. Atasi Morning Sickness
  
Morning sickness merupakan masalah paling biasa berlaku pada awal 
kehamilan tetapi tahap keseriusannya berbeza antara wanita. Masalah ini 
tidak akan mengancam bayi dalam kandungan selagi anda mampu untuk 
menyimpan sebahagian daripada apa yang dimakan. Sama penting adalah anda
 harus banyak minum air. Makanlah makanan seimbang jika anda boleh, 
tetapi jika berasa amat loya, makan apa saja yang mampu.
 
 8. Rehat Secukupnya
 
 Ibu hamil disarankan agar mendapatkan rehat secukupnya. Jika sakit 
belakang mengganggu tidur, cubalah berurut. Tapi, pastikan urutan 
tersebut dilakukan oleh individu yang berpengalaman. Selain itu, senaman
 dan aktiviti santai juga boleh membantu meredakan tekanan yang 
dihadapi
 
Post a Comment